Wednesday 1 July 2015

Masyarakat Malaysia Semakin Tidak Beradab?



Masyarakat Malaysia semakin tidak beradab. Ini adalah fenomena yang amat menyedihkan. Tidak kiralah tua atau muda dan apa bangsa sekali pun, kita (rakyat Malaysia) sudah hilang sifat-sifat sopan santun dan hormat menghormati. Sifat malu dan rendah diri juga turut hilang ditelan zaman. Apakah bukti-bukti yang menggambarkan kesedihan ini? Apakah penyebabnya? Bolehkan kita sembuh dari penyakit ini? Ini semua persoalan yang perlu kita ketengahkan supaya dapat kita bertindak. Kalau lambat, habis anak-anak kita semua pun jadi kurang ajar, maka lingkuplah bangsa Malaysia kelak jika tanpa tindakan yang sewajarnya.

Apakah bukti-bukti kekurang-ajaran ini? Lihat saja gaya bahasa orang-orang kita. Yang tua mahupun yang muda. Terutamanya di media sosial seperti Facebook dan Twitter. Kita saling memaki hamun di antara bangsa-bangsa yang berbeza. Kita saling mengutuk di antara agama-agama yang majmuk. Kita sering tuduh-menuduh di antara kecenderungan politik yang pelbagai hala tujunya. Malah kita sudah makin berani untuk menggunakan perkataan-perkataan kusut memanggil orang seperti "Babi", "Anjing", "Barua" dan banyak lagi. Yang lebih hebat, ada di antara kita yang pandai memutar-belit infografik dengan meletakkan kepala pemimpin di atas imej binatang.

Saya amat malu dengan perkembangan negatif sifat rakyat Malaysia. Apabila sahabat-sahabat saya dari Australia dan England memerhatikan status-status Facebook mengenai Malaysia, mereka hanya nampak perangai kita yang seperti tidak bertamadun. Seolah-olah pendidikan tidak mempunyai apa-apa kesan positif kepada kita. Saya cuma mampu berkata, "Please do excuse my countrymen. Not that they meant to be rude, but they are very passionate people." Sampai terpaksa saya tipu sunat. Ini bukannya "passionate". Ini kurang ajar namanya.

Orang-orang Islam sudah lupa bertoleransi terhadap orang-orang bukan Islam. Seolah-olah kita hanya satu agama di bumi Malaysia ini. Orang-orang bukan Islam pula semakin lantang mengutuk Islam sehingga ada yang mempersendakan masjid, azan dan degil menggunakan perkataan suci Allah tanpa menghiraukan sensitiviti setempat. Bermain dengan agama untuk memporak-perandakan ketenteraman di antara agama yang berbilang adalah amat bahaya. Dengan adanya bahaya ini pun masih ramai yang hendak memperjuangkan kebebasan labun melawan akta kerajaan untuk keselamatan umat.

Melayu dengan gahnya melaungkan ketuanan dan yang Cina dan Indianya lupa diri di mana asal mereka. Yang Melayunya menyalahguna hak istimewa dengan pelbagai pecah amanah dan rasuah. Yang Cina dan Indianya pula sibuk mempertikaikan perlembagaan negara tanpa rasa hormat dan diplomasi. Kesemua kaum sama sahaja. Masing-masing mementingkan hal sendiri dan tidak langsung mengamalkan asimilasi yang diperlukan untuk masyarakat majmuk untuk terus hidup dengan harmoni. Ianya seolah-olah kita mahu mewujudkan kiamat kecil kita sendiri di bumi Malaysia ini.

Mungkin generasi muda sudah lupa bagaimana tok nenek mereka bertoleransi sesama mereka dengan perjanjian sosial. Mungkin kita sudah lupa bagaimana Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan bekerjasama dengan Tunku Abdul Rahman membina negara baru Malaysia. Mungkin kita sudah lupa bagaimana Melayu bersusah-payah melawan Malayan Union demi masa depan. Semuanya sudah dilupai walaupun kita baru sahaja merdeka 58 tahun lalu.

Yang paling ketara sekali ialah keburukan jiwa hasil ketaksuban politik. Malaysia sudah menjadi medan perang propaganda. Habis isu-isu bangsa dan agama diperogolkan demi kepentingan politik masing-masing. Habis semuanya hendak dipercaya tanpa sedikit pun bertanya kesahihan maklumat-maklumat yang mungkin fitnah dan propaganda politik. Habis semuanya dituduh bertubi-tubi tanpa mengenal betapa dosanya menfitnah. Yang lebih sedih, ramai pula yang turut menyokong apa jua tuduhan tidak kira betul atau tidak. Kita ini seakan-akan sudah menjadi zombie.

Apabila sudah ada sistem yang betul, mereka masih mempertikaikan sistem tersebut. Dianggapnya semua yang bekerja dengan kerajaan adalah anjing. Tidakkah mereka sedar yang bekerja dengan kerajaan pun ramai yang bukan dari parti politik yang memerintah kerajaan? Sungguh tidak masuk akal jika kesemua pegawai kerajaan bekerjasama untuk sama-sama menipu rakyat. Auditor Negara kita tidak percaya. Auditor professional pun kita tidak percaya sampai 3 firma perakaunan kita cemuh. Parlimen sudah menggubalkan sistem "ombudsmen" pelbagai parti melalui Jawatankuasa Akaun Awam (Public Accounts Committee). Ini juga dipertikaikan.

Untuk sesiapa sahaja yang waras, seharusnya kita harus menerima maklumat dari kesemua pihak dan dengan maklumat-maklumat itu kita hadamkan dan gunakan otak dengan baiknya sebelum membuat kata putus peribadi untuk mempercayai siapa. Apabila tiba masanya, tahulah kita siapa kita akan pangkah semasa pilihanraya besar nanti di tahun 2018. Ini tidak. Kita cuma mahu mempercaya kata-kata tohmahan yang tidak ada buktinya dan menolak sama sekali maklumat yang datangnya dari sumber yang baik seperti polis. Kononnya polis di Thailand pun mungkin dirasuah oleh pihak-pihak tertentu. Yang paling sedih, kita terus mengambil apa jua maklumat sensasi untuk bahan kita memaki hamun sesiapa sahaja tanpa menyiasat akar umbi atau memahami keadaan secara terperinci dan penuh kewajaran.

Sudah berpuluh kali pelbagai kempen komunikasi dijalankan untuk orang ramai memahami polisi-polisi kerajaan. Tapi apa yang kita buat? Bukan kita mahu bersikap jujur untuk memahaminya. Sebaliknya kita terus melompat dengan salah sangka yang berleluasa. Padahal, jika kita cuba memahami dengan mendalam, kita akan boleh nampak yang kebanyakan polisi-polisi kerajaan itu mungkin boleh mendatangkan kebaikan untuk jangka masa panjang demi kesejahteraan Malaysia untuk anak-anak kita. Kita lebih rakus dengan kesan negatif yang menimpa kita sekarang. Sungguh mementingkan diri sendiri.

Setakat ini saya baru sahaja menceritakan bukti mengapa kita ini sudah menjadi masyarakat tidak beradab. Soalan saya yang kedua tadi ialah, "Apakah penyebabnya?" Sebenarnya kita tidak boleh salahkan Facebook atau Twitter. Kita tidak boeh salahkan pegawai kerajaan yang bertungkus lumus. Kita tidak boleh salahkan saudara kita dari parti yang lain. Kita tidak boleh salahkan orang beragama lain. Kita tidak boleh salahkan mana-mana pihak lain melainkan diri sendiri. Sebabnya ialah kita. Di benak jiwa kita masih ada kehitaman yang menghindar kita dari menggunakan akal, bersabar, menghormati yang lain, bertoleransi, bersikap jujur dan bertawakal.

Apa masih ada peluang untuk kita sembuh? Persoalan ini saya tahu kita sudah ada jawapannya. Cuma perlu kita buangkan sikap bongkak dan sombong. Itu sahaja. Jika kesemua 30 juta rakyat Malaysia berbuat begitu, masyarakat Malaysia dapat mengembalikan imej masyarakat majmuk yang harmoni seperti mana yang pernah kita baca di dalam buku teks sekolah semasa kecil dahulu.



~~~~~


No comments:

Post a Comment