Friday 10 July 2015

Antara Propaganda dan Harapan



Dalam keadaan negara yang kucar kacir dengan pergolakan politik, kejatuhan Ringgit Malaysia dan kenaikan harga minyak, rakyat marhain perlu tabah dan tidak hilang pedoman dalam membuat kesimpulan mengenai masa depan mereka. Walaupun kepercayaan rakyat kepada Kerajaan kian pudar, Kerajaan masih menunjukkan keazaman untuk terus membangunkan Malaysia. Tolaklah ke tepi segala propaganda politik dan marilah kita sama-sama menilai samada ada kita masih mempunyai harapan untuk ke hadapan.

Malaysia telah melalui pelbagai transformasi semenjak merdeka dan sesungguhnya kita sudah maju dengan pelbagai kejayaan. Kita tidak lupa kepada Tun Razak yang meneraju negara membasmi kemiskinan dan membangunkan masyarakat di bawah usaha Dasar Ekonomi Baru dari wujud dari 1971 sehingga 1990. Kita juga tidak lupa kepada Tun Mahathir yang membawa Dasar Pembangunan Nasional dari 1991 sehingga 2000 yang berkesudahan dengan Wawasan 2020. Pada masa itu juga pergerakan ekonomi negara diperkuatkan lagi dengan tertubuhnya Unit Perancangan Ekonomi atau EPU.

Di bawah kedua-dua era ini Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan seperti berikut:

1. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tumbuh dari RM71 bilion pada tahun 1970 ke RM1 trillion pada tahun 2014.

2. Pertumbuhan ekonomi yang stabil pada paras purata 6% untuk tempoh 60 tahun.

3. Kita telah berubah dari sebuah negara pertanian di mana pertanian merangkumi 32% KDNK ke sebuah negara perindustrian di mana perkilangan merangkumi 70% KDNK.

4. Kalau dahulunya pendapatan seisi rumah berapa pada paras RM294 sebulan pada tahun 1970, kini pada tahun 2014 ia meningkat kepada RM6,141 sebulan. Median pendapatan juga meningkat dari RM166 sebulan pada tahun 1970 ke RM4,585 sebulan pada tahun 2014.

5. Kini 76% dari penduduk Malaysia memiliki rumah.

6. Kini 95% penduduk Malaysia mempunyai bekalan air bersih.

7. Kini 97% penduduk Malaysia mempunyai bekalan elektrik.

8. Kini 98% penduduk Malaysia sudah mencapai tahap literasi.

9. Kalau dahulunya Bumiputera hanya memegang 2.4% ekuiti perniagaan pada tahun 1970, kini pada tahun 2014, ia sudah mencapai 23.5%.

10. Kemiskinan pada tahap 49.5% pada tahun 1970 sudah turun dengan banyaknya sehingga berada pada paras 0.6% pada tahun 2014.

Untuk menentukan kesinambungan kekuatan pencapaian ini, Kerajaan telah mewujudkan pelbagai program. Di antaranya ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP), Program Transformasi Komuniti (CTP), Program Transformasi Sosial (STP) dan Program Transformasi Fiskal (FTP). Itu dia punya banyak usaha-usaha Kerajaan.

Dengan ini, perlukah kita melingkupkan pencapaian negara ini dengan menerima apa saja tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meruntuhkan negara melalui propaganda-propaganda yang menghancurkan kestabilan politik dan ekonomi negara? Tidak sayangkah kita dengan negara yang sudah maju untuk terus maju? Walau bagaimana pun, seperti yang saya katakan tadi, kita ke tepikan hal politik dan perlu kita menilai harapan negara untuk terus maju (ataupun keluar dari belenggu kehancuran ekonomi).

Apakah yang berada di dalam perancangan untuk Malaysia menjelang 2020? Baru-baru ini tanggal 21 Mei 2015 Kerajaan, melalui Y.A.B. Perdana Menteri, telah membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) berteraskan inovasi, produktiviti, pembangunan prasarana, pembangunan modal insan, konsep hijau, kesejahteraan dan inklusiviti. Ini dipercayai akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi bersesuaian dengan hasrat mencapai tahap negara yang terbangun (developed) dengan pendapatan penduduknya yang tinggi. Ini dipercayai akan menjadi lonjakan terakhir untuk mencapai Wawasan 2020.

Apakah butir-butir penting RMK11 untuk renungan kita supaya dapat diwujudkan lagi harapan positif di kala kita dibelenggu permasalahan politik yang menyedihkan jiwa? Antaranya adalah:

1. Kerajaan akan meneliti kumpulan 40% terbawah dari segi pendapatan (B40) di mana kini ia mempunyai 2.7 juta orang yang hanya mempunyai pendapatan serendah RM2,500 sebulan. Ini akan diusahakan supaya mencapai RM5,000 sebulan lantas akan dapat menurunkan pekali Gini (sukatan jurang pendapatan) dari 0.401% ke 0.385%. Antara langkah yang akan diambil ialah membina kilang-kilang berhampiran kawasan perumahan B40.

2. Kerjaan juga sudah memberi komitmen untuk meningkatkan penglibatan wanita di dalam pengurusan eksekutif sehingga mencapai 30%. Ini akan dilakukan melalui jabatan- jabatan dan syarikat-syarikat pegangan Kerajaan.

3. Untuk anak-anak muda, RM100 juta akan diperuntukkan untuk 1Malaysia Youth City di mana ia akan berfungsi sebagai rumah transit, pusat penjagaan kanak-kanak dan pusat latihan vokasional.

4. Rumah khas warga tua juga akan ditambah untul menampung kenaikan jumpah orang berusia tua yang tidak dijaga keluarga.

5. Untuk Oang Kurang Upaya (OKU) pula, pusat latihan kebolehan bekerja akan diwujudkan supaya mereka dapat berdikari bekerja sendiri. Malah, 16,000 pekerjaan akan diwujudkan untul OKU.

6. Kerajaan akan mengkaji semula dasar-dasar berkenaan dengan permodenan pertanian, mikro kredit, perangkaan sosio-ekonomi dan hak milik tanah. Ini semua akan mengambil kira pertimbangan pengagihan yang bersesuaian dengan kepelbagaian kaum di Malaysia yang berketurunan Melayu, Cina, India dan Peribumi.

7. Jalan raya sepanjang 3km akan dibina di luar bandar. Bekalan elektrik akan ditingkatkan ke 99% di luar bandar. Bekalan air akan dibangunkan lagi dengan peruntukan RM10 bilion untuk kawasan luar bandar. 

8. Koridor-koridor ekonomi akan dikembangkan lagi termasuk Iskandar di Johor, koridor di Utara, koridor di Sabah dan juga Sarawak. Dengan peruntukan RM370 bilion, dijangkakan 470,000 pekerjaan dapat diwujudkan dari koridor-koridor ini. Akan juga ditambah sebanyak RM236 bilion lagi menjelang 2020 di mana 470,000 pekerjaan lagi akan diwujudkan.

9. Bumiputera yang mewakili 62% penduduk negara pada tahun 1990 kini sudah mencapai 68%. Maka makin rancaklah keperluan untuk mencapai pemilikan ekuiti Bumiputera pada tahap 30%.

10. Untuk perkhidmatan perubatan pula, jumlah katil hospital akan ditingkatkan sebanyak 25% untuk mencapai 73,000 menjelang 2020. 6 hospital baru akan dibina terutamanya di Sabah dan Sarawak. Dengan peruntukan RM73 juta, 165 klinik akan dibina. Ini akan menurukan nisbah pesakit kepada doktor ke tahap 400 pesakit bagi setiap doktor. Ini lebih dekat dengan tanda aras seperti Singapura (500) dan United Kingdom (358).

11. Menjelang 2020, 1 juta rumah milik akan dibina. Manakala untuk perumahan di kawasan perkampungan pula, 400,000 akan dibaik-pulihkan.

12. Untuk industri kreatif negara, ASWARA, sebuah institut pendidikan teknikal seni, akan dinaik tarafkan kepada sebuah universiti.

13. Sebagai pelaburan untuk mewujudkan generasi baru yang berpendapatan, modal insan dititik beratkan melalui usaha-usaha untuk mewujudkan 1.5 juta pekerjaan. Ini akan dapat meningkatkan sumbangan gaji pekerja kepada Pendapatan Negara Kasar dari 34% pada tahun 2013 ke 40% untuk tahun 2020 kelak. Untuk gaji pekerja vokasional, sumbangan tersebut akan ditingkatkan dari 25% pada tahun 2013 ke 35% untuk tahun 2020. Untuk graduan dari institut pengajian tinggi, Kerajaan berhasrat untuk membolehkan 80% daripada mereka untuk mendapat pekerjaan di dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajian.

14. Usaha pembinaan modal insan bukan sekadar pengwujudan pekerjaan sahaja. Kerajaan juga akan memperuntukkan RM1 bilion untuk Tabung Pembangunan Kemahiran dan juga meningkatkan tenaga pengajar sistem latihan dual-nasional dari 164,000 sekarang kepada 250,000 menjelang 2020. Pada tahun 2020 juga Kerajaan berhasrat untuk memenuhi pencapaian 100% pendaftaran kanak-kanak ke dalam sekolah dengan langkah pertama membina 80 sekolah baru pada tahun 2016.

15. 2,300 km lebuhraya akan dibina di Sabah dan Sarawak.

16. 197 km landasan keretapi berkembar akan dibina. Malah landasan rel laju akan dibina untuk jarak Kuala Lumpur ke Singapura.

17. Menjelang 2020, 100mb sesaat komunikasi internet jalur lebar akan diwujudkan manakala untuk perkampungan, tarafnya akan berada di paras 20mb sesaat.

18. Stesen penjana elektrik akan dibina di mana 7,776mwatt akan dapat dihasilkan dengan membolehkan pengwujudan 35,000 peluang pekerjaan dan sumbangan pendapatan untuk industri sebanyak RM28 bilion.

19. Loji air akan dibina di Langat untuk mengubati masalah air di negeri Selangor Darul Ehsan.

20. Sebagai penguat ekosistem pembekalan gas asli yang diimpot, terminal dan pusat gas asli akan dibina di Pengerang, Johor pada tahun 2016 dengan peruntukan sebanyak RM53 bilion.

21. Lapangan terbang baru akan dibina di Mukas dan Lawas di Sarawak.

22. Sebagai pemangkin inovasi, Rangka Produktiviti Nasional akan dirangka oleh sebuah majlis untuk produktiviti nasional. Menjelang 2020, 10% pengkajian dan pembangunan (R&D) akan dikomersialkan.

23. Pembangunan akan dipertingkatkan lagi untuk industri Halal, Kewangan Islam, Infomasi Maklumat, Petroleum dan Gas, Pendidikan dan juga Perlancongan.

24. 2.8 juta pekerjaan akan dikenal pasti bagi industri kimia, elektronik, perubatan dan aero-angkasa.

25. Untuk memperancakkan lagi aktiviti ekspot, Majlis Ekspot Negara akan meningkatkan lagi prasarana yang sedia ada.

26. Langkah-langkah akan diambil untuk memperhebatkan lagi perdagangan di Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Kerajaan menganggarkan Malaysia, pada tahun 2020 kelak, akan mempunyai 36 juta penduduk dengan KDNK sebanyak RM2.6 trilion. Ini bermakna pendapatan purata seorang penduduk (Per Capita) akan berada di paras RM117,000 setahun. Anggaran-anggaran ini tentunya tidak akan tercapai jika Kerajaan tidak mengimbangkan di antara modal pelaburan dan modal insan seperti yang dirancangkan melalui RMK11.

Subsidi Kerajaan juga akan diubah daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar di mana subsidi hanya akan diberi kepada golongan yang miskin. Pengagihan harta negara juga akan diimbangkan dengan perlaksanaan Cukai Barangan dan Pekhidmatan (GST) di mana pendapatan negara akan dapat ditingkatkan dengan lebihan RM5.6 juta untuk menolong menampung keperluan kewangan langkah-langkah Kerajaan termasuk RMK11.

Dengan ini, perlulah kita bertenang dan memberi sokongan padu kepada usaha-usaha Kerajaan demi masa depan negara. Usahlah kita memperkacaukan minda kita dengan pergolakan politik yang dewasa ini penuh dengan fitnah dan propaganda. Juga, usahlah kita bertindak tidak wajar terburu-buru tanpa maklumat sahih dan objektif.  Seharusnya kita berpegang kepada kebenaran dan kesabaran seperti yang diajar oleh agama kita. Yang penting, negara kita sudah ada hala tuju yang konkrit. Cuma tinggal kepercayaan rakyat dan tawakal kepada Illahi. Wassalam.







~~~~~







No comments:

Post a Comment