Sunday 28 June 2015

Kedudukan Pua Dalam PAC Terancam



Baru-baru ini saya terbacalah jugak The New Straits Times pasal kedudukan Tony Pua di dalam PAC. Untuk pengetahuan masyarakat marhain yang mungkin kurang jelas mengenai hal ini, biarkan saya huraikan sedikit sebanyak. Hal-hal 1MDB yang diperbesar-besarkan selama beberapa bulan kebanyakannya juga hasil dari aktiviti-aktiviti Tony Pua. Tony Pua adalah ahli parlimen dari parti DAP. Beliau juga adalah ahli Public Accounts Committee atau PAC. PAC pula adalah satu jawatankuasa khas yang dilantik oleh parlimen untuk menjalankan tugas-tugas penyiasatan akaun ke atas mana-mana badan yang menjalankan aktivitinya dengan menggunakan duit rakyat. Pendek kata, kalau ada masalah dari mana-mana kementerian, jabatan kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan juga syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC), PAClah yang akan menyiasat untuk dilaporkan kepada parlimen. PAC juga mempunyai ahli-ahli dari parti-parti politik yang memegang kerajaan dan juga pembangkang (Bi-Partisan).

Jadi apa masalahnya dengan Tony Pua ini? Baru-baru ini, peguam UMNO yang terkenal, Tan Sri Shafee, mengeluarkan kenyataan bahawa kedudukan Tony Pua di dalam PAC adalah tidak memadai kerana ianya mewujudkan konflik di atas sebab dia amat aktif dalam menonjolkan persoalan-persoalan mengenai 1MDB. Saya pada mulanya tak faham sangat kenapa konflik sebab pengerusi PAC pun dari UMNO maka konfliklah dengan kedudukan perihal 1MDB kerana Menteri Kewangan adalah dari UMNO. Tetapi apabila saya berbincang dengan orang-orang yang lebih arif, barulah saya faham, seperti berikut:

1. Sememangnya ahli-ahli PAC sentiasa akan di dalam keadaan konflik kerana ianya sekumpulan lantikan ahli parlimen untuk menyiasat apa-apa hal kerajaan yang juga dipimpin oleh ahli-ahli politik.

2. Walaubagaimana pun, jika keterampilan ahli-ahli PAC itu dipaparkan dengan sewajarnya, tidak menjadi masalah kerana ianya tergolong dari ahli-ahli parlimen yang tidak memegang jawatan di dalam mana-mana badan kerajaan ataupun GLC. Samalah seperti Ahli Lembaga Pengarah syarikat melantik pengarah-pengarahnya untuk menganggotai Jawatankuasa Audit syarikat.

3. Jadi apa masalahnya dengan Tony Pua? Masalahnya memang kita nampak di dalam suratkhabar ataupun media massa yang lain yang Tony Pua ini banyak menyuarakan pendapat dan persoalan mengenai 1MDB bukan dari kedudukannya di dalam PAC. 

4. Ini ibarat hakim yang berhujjah seperti peguam di dalam mahkamah. Bukankah peguam-peguam sahaja yang berdebat dan kemudian hakim akan menentukan penghakiman ke atas pesalah dengan mengambil kira hujjah-hujjah peguam? Kalau hakim juga yang berhujjah, maka konfliklah kedudukannya.

5. Kenapa konflik? Dari segi persepsi, rakyat marhain dapat melihat yang sebagai peranan penghakiman (PAC ke atas 1MDB), Tony sudah dari awal-awal lagi menunjukkan betapa taksubnya beliau untuk memangkinkan lagi isu-isu 1MDB ini. 

6. Adakah pentaksub yang sudah membuat konklusi di dalam minda mereka mempunyai kewarasan yang sewajarnya untuk menghakim dengan adil dan saksama? Bayangkan orang yang menjadi hakim adalah ahli keluarga orang yang dibunuh oleh seorang yang dituduh membunuh. Tidakkah hakim itu akan menjadi pentaksub untuk menghukum yang dituduh tanpa memperdulikan fakta-fakta yang bercanggah dengan tuduhan tersebut?

7. Di sinilah wujudnya keadaan yang tidak wajar untuk Tony Pua menjadi ahli PAC iaitu tiada segregasi (Segregation) tugas di antara penghujjah dengan penghakiman. Sama seperti tiada segregasi di antara peguam dan hakim... maka tiada segregasi di antara pemberi atau pemangkin kes dengan PAC.

8. Sebenarnya tidak salah jika Tony Pua bersuara kerana dia juga rakyat Malaysia dan dia juga seorang ahli parlimen. Saya juga setuju sangat hal-hal dibangkitkan jika ada kemungkinan kesalahan tetapi kenalah dibuat dengan penuh kewajaran.

9. Apakah bahan-bahan yang membolehkan kewajaran tersebut? Di antaranya ialah: Segregasi tugas, sikap objektif, tiada bukti konflik, minda yang terbuka untuk memproses hujjah-hujjah dari kesemua pihak, berdikari dari hasutan kuasa-kuasa luar dari PAC, membuat kesimpulan hanya dari bukti-bukti kukuh dan bukan dari propaganda; dan akhirnya, melaporkan maklumat HANYA kepada PAC sahaja dan bukan ke khalayak umum melalui suratkhabar atau media massa yang sewaktu dengannya.

10. Adakah kita, rakyat marhain, dapat menerima Tony Pua di dalam PAC berdasarkan prinsip-prinsip yang sudah kita huraikan tadi? 


Itulah pemikiran saya. Saya cuma mahu yang adil dan saksama tidak kiralah yang tertuduh itu dari pihak parti pemerintah ataupun parti pembangkang. Dengan adanya keadilan tersebut, barulah waras PAC digelar "Bi-Partisan".




~~~~~




No comments:

Post a Comment