Tuesday 23 June 2015

Fahamkan Kedudukan Ekonomi Negara Sebelum Percaya Penghasut Bermotif Politik



Bermacam-macam hasutan pendengki dewasa ini yang mempertikaikan polisi-polisi kerajaan pimpinan Y.A.B. Dato' Seri Najib Razak. Rakyat marhain seperti kita perlu pandai dalam menilai kesahihan tuduhan-tuduhan atau kata-kata negatif. Sebenarnya, kita ini mempunyai otak untuk berfikir sebelum mempercayai penghasut-penghasut yang hanya bermotifkan politik untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan UMNO sekarang. Kalau malas sekali pun (mengguna otak sendiri), paling busuk pun berilah peluang untuk seorang marhain seperti saya menghuraikan kebenaran sebelum anda mahu terus menjadi zombie penghasut dan pendengki.

Isu yang baru-baru ini diperhangatkan oleh media antarabangsa, Bloomberg, amat terang sekali membantai kerajaan Malaysia dengan tidak berasaskan maklumat yang betul. Malah mereka membuat kesimpulan yang bercanggah dengan kedudukan sebenar ekonomi negara. Yang paling sedih sekali mereka memberi kenyataan seolah-olah mencadang Malaysia kembali ke zaman Tun Mahathir apabila mereka (Bloomberg) jugalah yang dahulunya mencaci Tun Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Agak pelik juga saya apabila ini berlaku. Adakah ini satu 'stunt' politik yang dimainkan oleh sesetengah pihak supaya pemimpin kerajaan Malaysia mendapat tekanan dari media antarabangsa? Wallahualam... tapi memang nampak macam tu lah. Lebih-lebih lagi apabila Tun Mahathir tengah panas berentap dengan Dato' Seri Najib.

Jadi apakah yang dapat saya huraikan kepada masyarakat marhain supaya lebih bijak dalam menilai yang mana penerangan elok dan yang mana propaganda busuk penghasut zombie? Mari kita hadamkan satu persatu. Baru-baru ini pihak Bloomberg, melalui wartawannya William Pesek, melaporkan yang ekonomi Malaysia kini di bawah tekanan suatu kegawatan akibat polisi berteraskan kaum yang menghindar inovasi, kronisma yang berleluasa menghindarkan kualiti dan polisi yang menyahkan penglibatan syarikat-syarikat 'multinational' dalam pertumbuhan negara. Semua tuduhan-tuduhan ini amatlah tidak berasas. Mujurlah kita ada menteri yang pandai berhujjah mengenai perkara ini. Syabas Dato' Seri Idris Jala yang berjaya menembak tohmahan-tohmahan tersebut seperti berikut:

1. Dari tahun 2009 sehingga 2014, Pendapatan Negara Kasar Malaysia telah tumbuh sebanyak 47.7%. Kalau dibandingkan dengan sesetengah negara yang lain, purata pertumbuhan setinggi 8% setahun ini amatlah memberangsangkan. 2014 mencatatkan 6% pertumbuhan ekonomi dan OECD menjangka Malaysia akan tumbuh dengan kadar 5.6% setahun untuk 4 tahun yang akan datang. Suruhanjaya Eropah menjangka Eropah akan tumbuh dengan kadar 1.5% sahaja. Tidakkah ini menunjukkan Malaysia masih mempunyai ekonomi yang masih mantap?

2. Dato' Seri Najib telah lancarkan Program Transformasi Ekonomi pada tahun 2010. Ini bukanlah program bangang yang tak bermakna. Ianya berlandaskan asas-asas profesional. Apakah kebaikan yang dapat dirasai melalui program ini? 
2(a) Pertamanya, dalam tahun 2010 sehingga 2014, pelaburan negara menjangkau 2.5 kali lebih banyak dari tahun-tahun sebelumnya dengan catatan tertinggi setiap tahun. Yang paling memberangsangkan ialah, pelabur-pelabur tersebut adalah majoritinya dari pihak swasta berbanding dengan pihak kerajaan.
  
2(b) Keduanya, kekurangan baget ataupun 'budget deficit' negara dapat diturunkan ke tahap 3.5% kelak dengan jumlah pinjaman negara di aras 53% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ataupun GDP). Ini jauh lebih baik daripada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun ataupun Singapura.
2(c) Malah World Bank, melalui Global Economic Prospects Report 2014 memuji Malaysia kerana menurunkan tahap kemiskinan di bawah 1%. Semenjak 2009, pendapatan golongan 40% terbawah tumbuh dengan kadar 12% iaitu satu tahap yang tinggi apabila secara purata keseluruhan negara menunjukkan pertumbuhan pendapatan 8%. Melalui legislasi kadar pendapatan minima, Malaysia berjaya mengeluarkan lebih 2.9 juta rakyatnya dari belenggu kemiskinan.
2(d) Kadar inflasi pula telah di turunkan ke tahap 2.4%, suatu tahap yg rendah berbanding 3%-4% di tahun-tahun yang lalu.
2(e) Melalui projek-projek elektrik, air dan jalan di kawasan-kawasan pendalaman, lebih 5 juta penduduk dapat merubah hidup ke arah yang lebih moden dan selesa.
3. Tuduhan polisi berteraskan kaum dari Bloomberg tidak menghiraukan pertukaran polisi Dato' Seri Najib di mana pada tahun 2010, Kerajaan telah menghapuskan kuota Bumiputera 30% dari pegangan ekuiti syarikat-syarikat perniagaan. Dengan itu, lebih banyak lagi pelabur-pelabur asing dapat memegang ekuiti di Malaysia terutamanya syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Langkah yang sama juga akan diambil untuk pasaran hartanah dan perumahan. Manakala untuk perniagaan pengurusan aset kewangan dan broker stok, penglibatan pelabur asing juga telah dibenarkan. Oleh itu, apakah asas Bloomberg melaporkan bahawa Malaysia mempunyai sistem yang 'rasist'? Malah, Bloomberg juga yang melaporkan penghapusan kuota ini pada tahun 2010.

4. Bloomberg juga ada melaporkan bahawa Malaysia terlampau bergantung kepada keluaran petroleum dan gasnya. Ini amat bercanggah dengan laporan International Monetary Fund mengenai Malaysia di mana Malaysia berada di tahap yang sihat berdasarkan diversifikasi sumber ekonominya.

5. Bloomberg juga berpendapat bahawa kerapuhan Ringgit Malaysia adalah berpunca dari polisi-polisi kerajaan yang kurang sihat itu tadi. Kerendahan Ringgit Malaysia tidak sama sekali harus bermakna yang ianya tidak mendatangkan kebaikan. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, melaporkan memang benar Ringgit Malaysia lemah dan ramai yang berpendapat ianya adalah kerana kebergantungan Malaysia terhadap sumber ekonomi petroleum dan gasnya di mana industri itu mengalami kejatuhan harga yang mendadak baru-baru ini. Tetapi pada hakikatnya, ia tidak langsung mencerminkan keutuhan ekonomi Malaysia yang bukan sahaja harus dilihat dari segi nilai matawangnya, tetapi juga dari segi keluaran dan pendapatan negara serta potensi ekspot dan pembangunan negara.

6. Bloomberg juga mencadangkan untuk Malaysia kembali ke jalan yang diterajui oleh Tun Mahathir semasa tahun 2003 dahulu. Kegilaan apakah ini? Bloomberg juga yang mencaci Tun Mahathir kerana pengurusan negaranya yang penuh dengan subsidi-subsidi yang keterlaluan, kronisma yang jelas, sikap keras terhadap kaum Yahudi serta pengcampuran tangan dalam hal-hal kehakiman negara. Adakah Bloomberg sudah lupa dengan kecaman-kecaman yang dilakukan dahulu? Ataupun mungkin Bloomberg kini bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO?


Amat jelas sekali dengan hujjah-hujjah di atas bahawa Malaysia akan terus maju mencapai status negara yang terbangun menjelang 2020 dengan pendapatan penduduknya yang akan berada di tahap yang tinggi. Dengan pencapaian seperti ini, Dato' Seri Idris Jala telah mendapat jemputan ke Universiti Harvard, Universiti Oxford dan ke Moscow untuk menceritakan kejayaan Malaysia kepada menteri-menteri dan wakil-wakil kerajaan-kerajaan negara lain di persada dunia. Dengan ini memang tidak salahlah kalau kita membuat kesimpulan bahawa Bloomberg telah membuat laporan mengenai Malaysia dengan tidak adil, tidak benar dan tidak masuk akal. Maka, wajarlah jika masyarakat marhain seperti pembaca-pembaca sekalian dan saya mengambil langkah yang bijak untuk tidak mempercaya media massa sebulat suara atau (sebangang zombie) dan meluangkan masa untuk mengkaji dengan logik apa-apa tohmahan sebelum membuat kesimpulan sendiri. Wassalam.



~~~~~

No comments:

Post a Comment