Saturday 13 June 2015

6 Persoalan Mengenai 1MDB Yang Dikecoh Oleh Jebat-Cilisos Yang Kalut



Semenjak dua menjak ni ramailah sangat rakyat Malaysia ni nak tunjuk terror dalam bidang ekonomi dan keusahawanan. Asyik dok nak mencari kesalahan Kerajaan terutamanya hal-hal perniagaan 1MDB. Yang sedihnya mereka ini cuba pelbagai angle. Asal boleh. Yang taksub percaya tak tentu hala pun ramai jugak. Macam dah jadi negara Zombie Malaysia ni. Sebenarnya ni semua poyo ikut perasaan. Kalau pakai otak sikit rasanya tak jadi Zombie. Hari ni aku terbaca 1 blog post dari Jebat Must Die (JMD) yang di dalam Bahasa Inggeris yang kononnya diurai dari blog Cilisos. Haru betoi persoalan-persoalan si JMD ni. Dia punya belit sana-sini macam beruk makyeh pun ada. Tapi takpa.... mai kita urai satu persatu. Ada 6 persoalan:

1. 1MDB ada buat untung ka tak?

JMD punya dok pusing sana sini nak bagi rakyat confuse lagi. Kalau ikut logik lah.... perniagaan pembangunan tanah dan bangunan dan juga janakuasa elektrik ni perniagaan jangka masa panjang. La ni baru saja. Nak kena tunggu sampai pembangunan siap dan dijual ataupun permintaan elektik tumbuh dengan pesat. Awal-awal perniagaan agak slow nak buat untung. JMD ada sentuh hal untung 1MDB ni untung karut sebab revaluasi aset. Ya lah.... memanglah akaun 1MDB ada catat revaluasi aset tapi tu semua ikut piawaian perakaunan. Secara logiknya memang bagus kalau ada revaluasi asset yang positif. Maksudnya aset yang dibeli aset yang berharga dan yang boleh naik harga. Ikut undang-undang pun dia nak belasah ka? Ni semua gara-gara Penghasut Zombie. Sebenarnya kata-kata JMD itu seolah-olah mengkaburkan mata rakyat dengan idea yg kononnya 1MDB cuba nak tunjuk untung tapi sebenarnya tidak. Seperti yang saya katakan tadi... mana-mana perniagaan pun kena cukup haul baru untung. Kena sabar. Business janakuasa dan pembangunan perlu masa untuk matang. Sekarang ni masih mangkor. 


2. Kenapa 1MDB berhutang?

Dalam konsep perniagaan, kalau sumber kewangan sepenuhnya datang dari modal sendiri (ekuiti), memang tak efisyen. Kenapa? Sebab kos kewangan ekuiti tinggi. Kalau tak silap 12% (kos ekuiti pasaran saham) hingga ke 25% (kos ekuiti modal teroka). Jadi tak salah kalau 1MDB memperoleh sumber kewangan yang lebih murah iaitu dengan berhutang. Kalau tak silap kos hutang adalah di antara 7% hingga 9%. Mungkin JMD rasakan hutang sebanyak RM42 bilion itu terlalu tinggi. Ya memang tinggi. Tapi setahu saya, bank cuma akan beri pinjaman jika ada aset yang bernilai jauh lebih tinggi dari hutang. Bukankah sudah berpuluh kali keluar surat khabar yang aset 1MDB bernilai RM51 bilion, iaitu satu nilai yang lebih tinggi dari hutang RM42 bilion. Dengan cagaran ke atas aset tersebut, maka pihak bank berasa selesa yang pinjaman tersebut ditampung oleh 'insuran' aset RM51 bilion. Di sinilah konsep revaluasi tadi menjadi lebih releven. Kenapa? Kerana itulah petunjuk bahawa aset tersebut mempunyai daya positif untuk naik nilai untuk tujuan merangkum pembayaran balik hutang sekiranya aset dicairkan. Untuk pencerahan kenapa perlu sehingga RM42 bilion? Saya rasa pengurusan 1MDB dah berbuih mulut cerita. Kalau tak paham lagi... tengok balik gambarajah di bawah - Ni semua usaha kerajaan untuk memajukan tanah di Kuala Lumpur dengan pembangunan Tun Razak Exchange dan juga Bandar Malaysia serta mengambil-alih aset janakuasa elektrik negara yang dahulunya dipunyai orang-orang kaya seperti Ananda Krishnan dan juga Genting.



3. Kenapa 1MDB bayar pembelian aset dan perbelanjaan yang tinggi?

Minta maaf banyak-banyak. Saya tak dapat nak buat analisa perbelanjaan 1MDB secara menyeluruh. Mungkin kalau saya fokus kepada apa yang dibangkitkan oleh JMD, sedikit sebanyak bolehlah saya cerita kawarasan harga yang dibayar. JMD telah membangkitkan seperti di bawah:

"..... 1MDB purchased overpriced power plants at RM12-13 billion and these assets brought about an inherited debt of RM6 billion. 1MDB paid a 10 percent (RM4.5 billion) commission to this bank, Goldman Sachs which is a lot higher than the average industry commission. There are these other investments (RM6.1 billion in Brazen Sky + RM4.2 billion in Aabar Deposit + RM5.1 billion in GIL Funds) that we know nothing of.... "

Ok kita cerita yang senang dulu. Perihal pelaburan Brazen Sky, Aabar dan GIL saya rasa tak releven untuk persoalan ini. Apa yang disoal ialah kenapa tinggi harganya. Aset tersebut adalah seolah-olah bertanya kenapa duit lebih dilaburkan ke dalam Unit Trust. Perbendaharaan yang bagus selalunya melabur duit lebih di dalam aset yang boleh mendatangkan untung yang lebih tinggi dari bunga pinjaman. Perihal Goldman Sach pula, ianya merupakan bank profesional yang terulung dalam merangka strategi kewangan untuk perniagaan yang sebesar 1MDB. Apa jua perkhidmatan ataupun pembelian barangan sudah tentu lebih tinggi harganya jika ianya melibatkan tahap profesional yang tinggi.

Perihal pembelian janakuasa elektrik pula, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh bahawa harganya terlampau mahal. Banyak faktor perlu dipertimbangkan kerana penjual juga perlu membuat untung. Mana ada orang buat transaksi perniagaan untuk rugi... betul tak? Maka, apa yang perlu dipertimbangkan. Pertama, berapa lama lagi janakuasa tersebut boleh menghasilkan elektrik? Jawapannya, jangka hayat teknikal janakuasa tersebut dan TIDAK sama sekali bergantung kepada konsesi dengan Tenaga Nasional. Secara logiknyalah, kalau 1MDB pegang janakuasa-janakuasa tersebut, sudah tentu tempoh konsesi tidak menjadi masalah kerana kedua-dua 1MDB dan Tenaga Nasional adalah syarikat milikan Kerajaan. Kedua, apa mungkin ada permintaan untuk penjualan elektrik? Jawapannya, selagi jumlah penduduk meningkat (contohnya pertambahan perumahan) dan aktiviti ekonomi meningkat (contonhya kilang-kilang), selagi itu permintaan akan ada. Malah permintaan akan meningkat. Kalau saya tak silap, tidak kurang dari 10% peningkatan setahun.

Secara amnya, pihak profesional akan membuat formulasi di mana pertumbuhan permintaan elektrik akan diunjurkan selama jangka hayat teknikal janakuasa dan kemudian disusut-nilaikan balik ke hari ini dengan kadar peratusan yang diinginkan sebagai untung. Jika hasilnya lebih tinggi dari jumlah yang dilaburkan, maka harganya berpatutan. Saya faham susah untuk difahami. Ni saya cuba explain cara terbaik - Katakanlah jika anda labur RM100 juta hari ini dan selepas setahun anda inginkan ia menjadi RM110 juta, iaitu untung sebanyak RM10 juta, tidakkah anda menjadi lebih gembira seandainya RM110 juta itu boleh diperolehi dengan hanya melabiur RM90 juta? Samalah di sini. Kalau apa yang dibayar untuk janakuasa-janakuasa tersebut boleh mendatangkan untung yang lebih dari apa yang dijangkakan, maka berpatutanlah harga yang dibayar. Maka wajarkah jika dituduh harga terlampau tinggi tanpa sesiapa membuat analisa yang saya uraikan tadi?


4. Macamana rakyat akan mendapat kebaikan dari 1MDB?

Sebelum saya mula cerita mengenai kebaikan rakyat, biar saya komen pasal perbandingan yang JMD telah buat di mana 1MDB telah dibandingkan dengan syarikat pelaburan negara Norway. Sememangnya perbandingan itu tidak adil kerana seperti yang saya katakan tadi, 1MDB ni baru saja nak membangunkan tanah untuk Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia dan janakuasa-janakuasa tersebut akan lebih mendatangkan untung apabila permintaan elektrik terus berkembang-maju. Perbandingan tersebut lebih sesuai jika dilakukan pada masa hadapan, mungkin selepas 2020, ataupun diperbandingkan dengan Khazanah Nasional yang sudah matang dalam aktiviti pelaburannya.

Sekarang ini persoalan apakah kebaikan untuk rakyat? Pertama, apa-apa untung yang akan diperolehi oleh 1MDB kelak boleh dibayar sebagai dividen kepada Kerajaan. Ini membolehkan Kerajaan menyalur kebaikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan negara ataupun pembiayaan khusus seperti BR1M, geran ataupun biasiswa. Sama hal lah dengan dividen yang Kerajaan dapat dari Petronas. Apa yang nak menggelabahnya? Bukan itu sahaja. Tun Razak Exchange akan menempatkan syarikat-syarikat kewangan antarabangsa dan juga tempatan khususnya dari segi kegiatan pembankan Islam. Ini dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, kemasukan pelabur-pelabur asing dan pembangunan socio-ekonomi yang akan tumbuh sejajar dengan perkembangan kawasan tersebut. Untuk janakuasa elektrik pula, Kerajaan dapat merasionalisasikan kos penjanaan elektrik yang dapat membolehkan keseimbangan kos antara penjanakuasa, Tenaga Nasional dan juga pengguna-pengguna elektrik. Bukankah lebih baik jika keuntungan penjualan elektrik dipunyai oleh 1MDB di mana Kerajaan dapat menyalurkannya balik kepada rakyat? (Berbanding dengan keuntungan yang digenggam oleh pemilik-pemilik lama janakuasa elektrik seperti Ananda Krishnan dan Genting)?


5. Siapakah akan membayar hutang-hutang 1MDB jika ianya diishtihar bankrap?

Persoalan bankrap itu cuma akan timbul jika aset-aset 1MDB tidak cukup untuk dicairkan kepada tunai yang boleh membayar hutang. Bukankah kita sudah disyorkan bahawa 1MDB mempunyai aset bernilai RM51 bilion yang melebihi hutang RM42 bilion? Saya agak bingung jugak apabila ini dipersoalkan. Tidak ada masalah sebenarnya di sini. Malah, sebelum hal pencairan aset ini dipertimbangkan, kita perlu terlebih dahulu lihat dari segi potensi perniagaan. Jika perniagaan mendatangkan untung yang bagus, maka tidak perlu pun kita risau untuk mencairkan aset. Malah, saya berpendapat bahawa perniagaan elektrik dan juga pembangunan harta adalah amat lumayan. Lihat saya syarikat-syarikat seperti MRCB, Glomac dan Naza TTDI. Jangan lupa syarikat janakuasa sebelum 1MDB membelinya semuanya beroperasi dengan keuntungan yang besar seperti Genting Sanyen, Malakof, Tanjung dan YTL. Kalau ye pun kita masih risau yang RM42 bilion itu terlampau besar, tidakkah Menteri Kewangan II telah membuat pengishtiharan di RTM1 dan juga surat khabar yang pihak Kementerian Kewangan akan mengstruktur semula kedudukan hutang 1MDB turun ke tahap yang tidak merunsingkan. Perlu juga kita ingat bahawa usaha ini mendapat persetujuan ahli-ahli kabinet dan sudah tentu dilaporkan di parlimen kelak.


6. Bagaimanakah kita benteras publisiti negatif pihak wartawan asing mengenai 1MDB di mana ianya menyebabkan Ringgit Malaysia jatuh?

Hahhhhh... Jebat Must Die ni aku rasa memang kena Die lahhhh... selepas dia sendiri yang dok mengutuk sana sini menjatuhkan maruah 1MDB, Kerajaan, Malaysia dan pemimpin, boleh ada hati nak rasa bimbang pasal kewartawanan negatif? Inilah dia tali barut negara. Semua Penghasut Zombie seperti JMD, pihak pembangkang, zombie-zombie inilah semua patut dipersalahkan. Saya juga berpendapat bahawa pihak pengurusan 1MDB agak bangang nak mampos sebab tidak mengurus hal komunikasi korporat dengan baik. Mungkin kerana 1MDB cuma tahu bekerja gigih untuk pembangunan negara daripada membuang masa melayan tali barut tersebut. Kejatuhan Ringgit Malaysia bukan semata-mata kerana kewartawanan negatif 1MDB sahaja. Ada banyak lagi faktor yang lebih releven seperti impot dan ekspot, rizab negara dan pelaburan asing. Setahu saya, Ringgit Malaysia yang rendah akan menggalakkan lebih banyak ekspot. Apabila ekspot meningkat, permintaan untuk Ringgit akan meningkat dan sekaligus menormalisasikan kadar pertukaran Ringgit. Rizab negara pula saya difahamkan dapat merangkum nilai impot untuk lebih dari 6 bulan dan nilai tanggungjawab hutang semasa negara lebih dari 1 kali. Saya juga difahamkan bahawa pelabur asing sudah mula kembali kerana Ringgit Malaysia yang rendah. Ini semua satu pusingan ekonomi yang sihat jika tidak keterlaluan. Apa-apa hal, Malaysia masih kuat dan tidak meleset seperti 1998 ataupun 2008.



~~~~~


No comments:

Post a Comment