Marhain memahami ekonomi Malaysia? Mungkin marhain terlalu taksub mendengar penghasut anti-Kerajaan yang menuduh setiap hari secara negatif segala usaha Kerajaan untuk mengurus ekonomi Malaysia. Marhain perlu belajar sedikit sebanyak ekonomi Malaysia sebelum meroyan di dalam Facebook tak tentu hala bagaikan kera tertelan putik durian. Apakah 10 perkara penting dan mudah yang perlu marhain fahami?
1. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ataupun Gross Domestic Product (GDP) Malaysia dijangka akan menjangkau 4.5% - 5.5% untuk 2015 seperti yang dilaporkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Ahmad Wahid Omar. Apakah maksudnya? Ia bermakna penduduk Malaysia akan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan pada kadar pertumbuhan tersebut di mana ianya mencerminkan pengguna barangan dan perkhidmatan di Malaysia yang masih mampu berbelanja dan dengan itu, menjadi pemangkin untuk pengeluaran berterusan pada pertumbuhan yang positif. Adakah 4.5% - 5.5% baik? Di kala ekonomi dunia yang merosot seperti Eropah pada tahap 1.5%, rasanya 4.5% - 5.5% adalah memuaskan.
2. Ringgit yang rendah pada tahap RM4.1 kepada setiap USD tetapi bukan kepada matawang asing yang lain kerana matawang asing yang lain juga mengalami kejatuhan. Malah untuk tempoh 5 tahun kebelakangan, Ringgit jatuh sebanyak 30%, tidak seteruk matawang negara lain terutamanya negara-negara membangun seperti BRICS (Brazil, Rusia, Indonesia, China dan Afrika Selatan) yang matawangnya jatuh antara 30% ke 60%.
3. Dari segi ekspot, adakah kejatuhan Ringgit baik atau buruk? Kenapa Ringgit jatuh? Kerana 2 perkara mustahak iaitu (1) berkurangnya negara asing membeli Ringgit akibat kejatuhan harga minyak dunia di mana Malaysia amat bergantung kepada ekspot minyak; dan (2) berkurangnya pembelian Ringgit akibat pengurangan impot barangan Malaysia oleh China setelah China menjatuhkan nilai Yuannya. Adakah ini baik atau buruk? Banyak barangan dan perkihidmatan ataupun hutang di dalam USD akan merugikan orang Malaysia tetapi dari segi ekonomi keseluruhannya, apabila Ringgit menjadi murah, ia akan meningkatkan ekspot barangan bukan hasil minyak Malaysia ke negara asing kecuali China. Ini akan membaik pulihkan kembali kestabilan Ringgit apabila negara asing perlu beli Ringgit untuk membayar barangan ekspot Malaysia. Ini amat releven kerana 76.6% ekspot Malaysia datangnya dari barangan perkilangan. Walaupun impot menjadi lebih mahal, perlu diingat bahawa Malaysia mempunyai lebih banyak ekspot dari impot.
4. Rizab negara berada pada tahap yang sihat di mana pegangan matawang asing terutamanya USD oleh Malaysia berada pada tahap yang membolehkan pembayaran impot selama 7.6 bulan. Ini bermakna impot tidak akan tergendala selama 7.6 bulan maka rakyat Malaysia masih boleh mengguna barangan impot seperti beras dari Thailand dan sebagainya. Adakah 7.6 bulan memadai? 7.6 bulan adalah tahap yang selamat jika dibandingkan kepada piawaiaan dunia oleh World Bank pada tahap 6 bulan.
5. Tahap pelaburan asing kita kini berapa pada tahap RM22.4 bilion berbanding RM17.8 bilion. Ini bermakna pelabur dari negara luar yakin untuk melabur ke dalam Malaysia. Dengan peningkatan pelaburan ini maka makin rancaklah pertumbuhan ekonomi kerana semakin banyak wang di dalam sistem wang tempatan, semakin banyak aktiviti-aktiviti pengeluaran barangan dan perkhidmatan dapat dijalankan.
6. Tahap pekerjaan juga mustahak untuk mengukur kekuatan ekonomi. Setakat ini, tahap rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan adalah 3%. Ini adalah satu tahap yang rendah. Malah, semakin banyak warga asing memasuki Malaysia untuk bekerja. Dengan tingginya tahap pekerjaan, lebih banyak kemampuan Rakyat untuk membeli barangan dan perkhidmatan dan secara langsungnya meningkatkan aktiviti ekonomi negara.
7. Pengurangan subsidi telah banyak disambut dengan negatifnya oleh rakyat. Apa yang rakyat perlu tahu ialah rakyat sudah terlampau dimanjai oleh subsidi. Selama ini rakyat asyik membeli dengan murah barangan seperti minyak, gula dan sebagainya adalah kerana Kerajaan membayar perbezaan antara harga yang dibayar oleh rakyat dengan harga sebenar pasaran yang jauh lebih tinggi. Ini memakan dengan rakusnya wang Kerajaan yang dikutip dari pelbagai cukai. Dengan itu, makin berkuranganlah wang untuk pembangunan seperti membina jalan, landasan keretapi, MRT, sekolah dan juga menampung bala seperti banjir dan seumpamanya. Kerajaan perlu bertanggung-jawab untuk menentukan bahawa wang ada dengan cukupnya untuk membiayai pembangunan negara. Walaupun dengan kesuntukan wang, Kerajaan masih boleh mengekalkan defisit budget yang rendah pada tahap 3% - 4%. Defisit budget ialah kedudukan belanjawan negara di mana wang yang dibelanjakan untuk negara berlebihan dari kutipan cukai dan pendapatan Kerajaan yang lain.
8. Cukai barangan dan perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) adalah kesinambungan dari usaha Kerajaan untuk menentukan wang yang cukup untuk pembangunan negara. GST bukan cukai baru tetapi cukai pengganti untuk cukai jualan. Dengan adanya GST, Kerajaan dapat meningkatkan kutipan cukainya sebanyak RM5.6 bilion untuk 2015. Ini membolehkan pembiayaan pembangunan termasuk menolong rakyat miskin dengan sumbangan BR1M yang dijangka akan meningkatkan perbelanjaan pengguna demi pertumbuhan ekonomi. Dengan GST ini juga Kerajaan dapat mengurangkan kes-kes penipuan cukai selama ini kerana GST dikenakan pada peringkat berlakunya penjualan. Ini juga meningkatkan cukai kepada mereka yang kaya dan yang berbelanja lebih dari yang miskin kerana rakyat cuma dikenakan GST apabila membeli-belah.
9. Malaysia tidak boleh bergantung kepada sumber tempatan semata-mata dalam mencari sumber pendapatan. Malaysia perlu bekerjasama dengan pelabur-pelabur asing untuk menjelajah sumber ekonomi tidak kira di dalam atau luar negara. Sebagai contohnya bekerjasama dengan Kerajaan Timur Tengah untuk penjelajahan minyak dan juga pembangunan tanah bersama Kerajaan Australia. Ini semua dilakukan oleh Kerajaan melalui pelbagai syarikat kepunyaan Kerajaan seperti Khazanah dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Oleh itu rakyat perlu objektif dalam menilai peranan syarikat-syarikat tersebut dan tidak membuta tuli mempercayai pelbagai tuduhan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
10. Pihak yang tidak bertanggungjawab juga melakukan tuduhan terhadap Kerajaan bukan dengan matlamat yang jujur. Mereka mahu merosakkan reputasi Kerajaam demi kepentingan politik mereka. Ini akan menggoyangkan kestabilan politik negara dan seterusnya menrosakkan kestabilan ekonomi negara. Adalah tidak wajar jika perubahan politik diterajui melalui acara-acara yang tidak mengikut Perlembagaan dan undang-undang. Kerajaan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjaga ketenteraman negara. Ini adalah kerana landskap politik memainkan peranan yang penting sebagai pencorak arah ekonomi sesebuah negara. Perlu diingatkan bahawa rakyat masih berkuasa untuk mengubah Kerajaan tetapi ianya perlulah dilakukan dengan cara yang betul seperti di Pilihanraya Umum yang dijangka akan berlangsung pada tahun 2018.
~~~~~
No comments:
Post a Comment