Thursday 11 June 2015

Persadakata Pesuruhjaya Antizombie



Masyarakat Malaysia kini dilanda penyakit yang merbahaya. Adalah dipercayai bahawa penyakit ini dapat membodohkan rakyat jelata di mana mereka mempercayai apa jua penipuan yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab. Pesakit-pesakit ini dikenali sebagai Zombie. Untuk membenteras bala ini, Pesuruhjaya Antizombie telah dilantik di bawah Suruhanjaya Antizombie. Semoga zombie-zombie tersebut dapat dibaik pulihkan oleh Suruhanjaya Antizombie. Amin.

Apakah tanda-tanda yang perlu kita waspada supaya kita tidak dibelengggu penyakit ini? Sememangnya banyak sungguh petandanya. Yang penting kita perlu tahu siapakah Penghasut Zombie ini. Sebagai permulaan, mungkin kita uraikan hanya 3 perkara sebagai langkah pertama untuk pengenalpastian. Ianya adalah seperti berikut:


FAHAMAN ZOMBIE MENGENAI GST:

Pandangan cetek yang hanya mementingkan impak kewangan GST untuk diri sendiri tetapi tidak untuk kebaikan umat sejagat dan juga untuk anak cucu kita nanti. Mereka sentiasa menidakkan kebaikan di mana cukai kutipan GST ini dapat memberi sumber kewangan kepada keperluan pembangunan negara. Mereka juga tidak percaya bahawa wang GST ini akan digunakan untuk meringankan beban kewangan golongan miskin melalui saluran wang BR1M. Selanjutnya, mereka juga menolak kesahihan mekanism GST ini sebagai perangkap penipu-penipu yang dahulunya mengelak dari pembayaran cukai pendapatan. Apabila penipu-penipu ini membuat tuntutan GST, jelas jumlah jualan mereka tinggi berbanding dengan tahun-tahun yang lalu. Maka musykillah pihak Lembaga Hasil lalu membuat siasatan. Ya memang harga barang akan naik jika dahulunya barang-barang tersebut tidak mempunyai cukai jualan tetapi bukankah Kerajaan telah  mengecualikan GST untuk barangan penting dan asas seperti sesetengah makanan dan petrol? Yang sebenarnya kenaikan harga yang mendadak ini datangnya dari peniaga-peniaga yang tidak bertanggung-jawab di mana mereka dengan selambanya menaikkan harga barang sewenang-wenangnya melebihi taraf GST. Melalui GST ini juga orang yang kaya akan membayar lebih cukai kerana perbelanjaan mereka yang lebih banyak dari yang miskin. Bukankah ini satu pengagihan harta yang saksama di mana yang kaya memberi sumbangan lebih untuk negara? Penghasut Zombie sebaliknya menyalahkan Kerajaan. Inilah dia pihak yang tidak mahu Kerajaan untuk mengutip hasil GST demi pembangunan negara.


FAHAMAN ZOMBIE MENGENAI AKTA PENGGANAS ATAU POTA:

Penghasut Zombie ini semua kononnya memperjuangkan hak bersuara. Mereka mahu bebas untuk mengutuk dan membuat tohmahan tak berasas dan tidak mahu dipertanggungjawabkan untuk apa yang mereka suarakan. Di banyak negara, kejatuhan tamadun berpunca dari kebebasan yang tidak terkawal seperti ini. Yang sebenarnya fahaman Zombie ini salah. POTA tidak menyekat kebebasan bersuara begitu sahaja. Ianya hanya bertujuan untuk mengelak dari anasir-anasir yang bermotifkan kehancuran negara melalui propaganda-propaganda sensitif yang dapat menyetus perbalahan dan juga kegiatan pengganas. Tanpa POTA, tentu susah untuk pihak penguasa untuk menahan suspek-suspek yang berkemungkinan mendatangkan kehancuran. Cuba tengok siri TV "24". Haaa... lebih kurang macam tu lah jugak. Penghasut Zombie sebaliknya lebih rela mengambil risiko kehancuran negara daripada memberi mandat untuk penguasa untuk menjaga keamanan negara. Orang gila kah penghasut-penghasut ini? Mahukah kita besarkan anak kita di persekitaran yang tidak tenteram?


FAHAMAN ZOMBIE MENGENAI  1MDB:

Pernahkah sebelum ini sistem di Malaysia menghukum pesalah sebelum penguasa mengadil dengan saksama? Bukankah masyarakat Malaysia ini berpegang kepada Kedaulatan Undang-Undang? Apa undang-undang negara kita? Memang sudah sedia ada sistem penyiasatan yang sememangnya dari dulu lagi bergerak dengan efektif. Kalau tak percaya pergilah ke web site Auditor Negara. Anda akan menemui pelbagai laporan audit yang dikeluarkan untuk GLC dan juga pejabat-pejabat Kerajaan. Lihatlah sendiri apa yang dikorek. Habis semua GLC dan pejabat Kerajaan dilanyak oleh Auditor Negara. Maka, harus kita tunggu penyiasatan terperinci dilakukan oleh Auditor Negara sehingga ada bukti kukuh untuk menghukum mereka yang bersalah. Malangnya, kita harus berdepan dengan Penghasut Zombie yang tidak mahu berpegang kepada rukun negara - Kedaulatan Undang-Undang. Mereka lebih suka bersikap tidak beradat dengan melempar tuduhan-tuduhan melulu kepada pihak pemerintah dengan bukti yang tidak kukuh. Mereka hanya mahu memporak-perandakan rakyat supaya kebencian meluas. Dengan kebencian itu mereka dapat menghasut rakyat untuk menolak pemimpin walaupun sebenarnya belum ada bukti kukuh untuk mempersalahkan mana-mana pihak. Akhirnya, nampak bodohlah Penghasut Zombie serta Zombie-Zombie yang mengikut apabila pihak Auditor Negara dapat mengesahkan yang hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion itu dapat diterangkan melalui aset-aset yang strategik di dalam industri pembangunan dan janakuasa elektrik serta aset semasa di bank-bank yang tinggi mutu perkhidmatannya.



Untuk blog post yang pertama ini, saya kira cukuplah setakat ini. Ianya hanya sekadar memberi idea asas apa yang diperjuangkan oleh Suruhanjaya Antizombie. Untuk blog post di masa hadapan mungkin analisa yang lebih terperinci dapat saya uraikan Insya'Allah. Usaha saya ini adalah usaha tulus dengan niat untuk mententeramkan rakyat jelata dari menggelabah tak tentu hala dan juga sebagai langkah untuk membenteras Penghasut Zombie daripada merosakkan Negara kerana rakus mengejar kepentingan politik mereka. Semoga usaha bertemu kejayaan. Amin. Sekian. Wassalam.




~~~~~




1 comment: