Saturday 29 August 2015

Bersih 4.0 Penuh Dengan Hipokrasi



Semalam, 29 Ogos 2015, ramai rakyat Malaysia berpakaian kuning membuat demonstrasi Bersih 4.0 di Kuala Lumpur dan juga di sesetengah bandar sekeliling dunia. Mereka mahu meluahkan rasa tidak puas hati kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak, atas pelbagai permasalahan yang timbul di Malaysia dewasa ini. Antaranya adalah keadaan ekonomi Malaysia, tuduhan salahguna kuasa dan pecah amanah di 1MDB dan sebagainya.

Sebagai seorang yang rasional, perkara ini perlu difikir dengan matang dan tidak berpandukan emosi dan hasutan pihak-pihak yang hanya bermotifkan politik. Rakyat Malaysia perlu lebih cerdik dan tidak terjerumus di dalam mentaliti kambing dan lembu di kandang seperti yang berlaku di negara-negara lain terutamanya di Timur Tengah. Oleh itu, saya berseru supaya rakyat Malaysia menggunakan otak dengan sewajarnya berpandukan perkara-perkara berikut:

ADAKAH BERSIH 4.0 CARA YANG BETUL MERUBAH KERAJAAN?

Negara kita adalah sebuah negara demokrasi. Kita mempunyai kuasa untuk merubah kerajaan setiap 5 tahun di Pilihanraya Umum (PRU). Adalah wajar jika kita tunggu sehingga 2018 untuk PRU14. Bukankah kita sudah melihat bagaimana berkuasanya rakyat di PRU13 sehingga Barisan Nasional (BN) kalah undi popular? Adakah kita tidak hormat dan tidak yakin dengan sistem demokrasi yang ada? Dengan menangnya majoriti kerusi parlimen, BN telah diberi mandat oleh rakyat, secara sah mengikut perlembagaan, untuk menerajui kerajaan selama 5 tahun. 

Aktiviti Bersih 4.0 tidak menghormati etika ini kerana menyeru untuk Perdana Menteri turun dan sekaligus, bersama-sama pihak pembangkang, ingin menggubal sebuah kerajaan baru. Adakah setiap kali kita tidak berpuas hati kita akan berdemonstrasi untuk merubah kerajaan? Sifat ini dapat melumpuhkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Ia juga dapat melemahkan kestabilan politik dan memerosotkan kekuatan ekonomi negara. Maka dengan kekuatiran inilah saya amat menolak aktiviti Bersih 4.0 dan berpendapat ianya bertentangan dengan aspirasi perlembagaan kita.

ADAKAH TUNTUTAN BERSIH 4.0 WAJAR?

Bersih menuntut agar Perdana Menteri meletak jawatan. Antara sebabnya ialah ekonomi dan tuduhan salahguna kuasa di 1MDB. Kemerosotan ekonomi sesebuah negara sememangnya adalah satu perkara yang saksama untuk rakyat mempersoalkan kerajaan. Tetapi, adakah rakyat sedar bahawa kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk melindungi negara dari kemerosotan yang berlanjutan? Antara usaha kerajaan itu dicemuh oleh rakyat sendiri walaupun ianya adalah untuk kebaikan bersama, sebagai contohnya, GST. 

Kerajaan telah mengurangkan subsidi terutamanya minyak dan mengenakan GST supaya negara mempunyai pendapatan yang cukup untuk menampung keperluan untuk membangunkan negara seperti MRT, infrastruktur, pendidikan, air, letrik, pertanian, perumahan, pengangkutan, perindustrian dan banyak lagi sepertimana yang telah diperbentangkan di parlimen baru-baru ini untuk Rancangan Malaysia ke-11.

Melalui pelbagai polisi dan pengurusan yang berhemah, kedudukan ekonomi Malaysia dari segi komponen asas adalah berada di tahap yang masih selamat. Antaranya ialah tahap pekerjaan 97%, defisit belanjawan serendah 3.9%, rizab sebanyak USD94 bilion untuk menampung 7.6 bulan nilai impot berterusan, pertumbuhan ekonomi pada tahap 4.5% (jauh lebih tinggi dari Eropah yang mencatat 1.5% sahaja), inflasi serendah 3.2% dan ekspot yang melebihi impot.

Adakah ini satu kedudukan ekonomi yang begitu teruk sehingga perlunya rakyat berdemonstrasi? Tidakkah rakyat menyedari bahawa kerajaan bukan BN (atau bukan pimpinan Dato' Seri Najib) juga mungkin akan berdepan dengan masalah ekonomi yang sama? Pihak yang ingin menghasut akan terus menyatakan ekonomi kita hancur kerana nilai matawang Ringgit amat rendah berbanding USD (USD=RM4.2). 

Tidakkah rakyat sedar bahawa sekiranya di bawah pimpinan orang lain, Ringgit tetap akan merosot kerana ianya dipengaruhi oleh faktor luaran seperti harga minyak dunia yang merosot, polisi fiskal Amerika Syarikat dan juga susutnilai Yuan oleh kerajaan China? Tidakkah rakyat sedar bahawa isu-isu ini telah dijadikan propaganda politik dan telah digaul dan diuli dengan lumatnya bersama hak bersuara rakyat supaya mata rakyat dikaburkan untuk menyokong Bersih 4.0? Tepuk dada tanya selera, "Betul ke Bersih 4.0 ini untuk luahan rakyat? Ataupun satu agenda lincah menjatuhkan kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib?"

Penghasut-penghasut akan lantangnya bersuara bahawa Dato' Seri Najib kotor kerana memakan wang RM2.6 bilion dari 1MDB. Ini adalah satu tuduhan. Adakah ia benar? Saya tidak tahu. Anda semua rakyat Malaysia, semuanya, pun tidak tahu kebenarannya. Adakah apabila kita tidak tahu kebenaran kita dengan lantangnya melaung tuduhan tersebut sehingga sanggup berdemonstrasi untuk menurunkan Perdana Menteri? Ini tidak masuk akal. Apa yang kita tahu? Kita tahu kita ada polis untuk siasat. Kita ada MACC untuk siasat. Kita ada PAC dan Auditornya untuk siasat. Kita ada Bank Negara untuk siasat. Apabila siasatan telah dibuat, maka barulah peguam negara akan mengambil tindakan undang-undang.

Penghasut akan terus dengan lantangnya berdebat bahawa kesemua siasatan itu telah dirogol oleh Dato' Seri Najib apabila beliau menukar jawatan ramai pengsiasat-pengsiasat tersebut. Tanyalah kepada mereka semua adakah mereka tidak setuju? Kesemuanya tidak memberi bantahan. Malahan, bekas Timbalan Perdana Menteri pun tidak menuduh apa-apa pun lagi dan hanya sekadar mempersoal. Siasatan tetap dijalankan. Malah, Tony Pua yang secara konfliknya tidak harus berada di dalam PAC pun masih dibiarkan. Mana-mana Perdana Menteri pun akan membuat apa yang patut supaya orang-orangnya menyokongnya dan tidak menikamnya secara kotor termasuklah menukar jawatan-jawatan tertentu.

Salahkah jika orang-orang yang disyaki berkomplot menggulingkan Perdana Menteri secara tidak sah ditarik keluar? Kalau saya Perdana Menteri pun saya buat. Masih percayakah kita pada dokumen-dokumen dari Sarawak Report apabila pihak polis Thailand dan juga sebuah firma siasatan IT antarabangsa telah mengesahkan bahawa dokumen tersebut tidak sahih? Adakah rakyat akan terus beranggapan bahawa dokumen tersebut masih benar sehingga sanggup berdemonstrasi? Adakah kita tahu bahawa dokumen itu sahih atau tidak? Kita tidak tahu. Maka mengapa kita bertindak tidak rasional untuk berdemonstrasi? Kerana kita dihasut propaganda politik sebenarnya.

NIAT BURUK SESETENGAH PIHAK MELALUI BERSIH 4.0

Telah saya perbentangkan dari segi perlembagaan mengapa Bersih 4.0 ini bertentangan dengan perlembagaan dan rakyat sebenarnya mempunyai cara yang lebih wajar. Telah juga saya perbentangkan mengapa tuntutan Bersih 4.0 ini tidak seharusnya masuk akal kerana fahaman ekonomi telah dipropagandakan bersama skandal 1MDB yang masih belum kita ketahui kebenarannya. Kita perlu celik. Celik kepada kemusnahan yang bakal menimpa kita sekiranya kita terus membodohkan diri mengikut hasutan. Terdapatnya pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab yang mahu memporak-perandakan masyarakat majmuk Malaysia ini. Siapakah mereka ini?

Dengan terang-terang kita dapat melihat penglibatan ahli-ahli politik pembangkang seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Azmin Ali dan ramai lagi. Bersih bermula sebagai sebuah NGO yang ingin menyuarakan kekuatiran rakyat mengenai prosedur pilihanraya sebelum ini. Kini ianya menjadi platform untuk berpolitik. Oleh kerana ianya amat meluas, ianya seolah-olah mahu menarik lebih cepat perdebatan pilihanraya yang sepatutnya berlaku pada tahun 2018. 

Ianya seolah-olah mahu melemahkan kerajaan secara berterusan agar kerajaan hilang tumpuan meneraju negara sehinggalah kerajaan gagal dari sekarang sehinggalah 2018. Ini tidak adil. BN telah diberi mandat untuk memerintah maka berilah mereka peluang memerintah dan perlulah kita tunggu sehingga 2018 jika pembangkang ingin bermanifestasi. Itulah dia Bersih 4.0. Satu platform untuk pembangkang menyerapkan ideologi manifestasi politiknya seawal mungkin secara mendadak dengan sinergi tuduhan-tuduhan ke atas pemimpin. 

Butakah rakyat? Tidakkah rakyat nampak agenda pembangkang. Sekali pun jika rakyat menyokong pembangkang, tidakkah mereka sedar ini cara yang kotor? Tidakkah rakyat berasa sangsi dengan hasrat sebenar kuasa luar yang memberi pertolongan kewangan kepada penganjur Bersih 4.0 seperti George Soros dan pihak-pihak lain yang juga bertanggung-jawab meruntuhkan negara-negara lain seperti di Timur Tengah? 

Tidakkah rakyat merasa hairan mengapa Tun Mahathir sanggup turun ke Bersih 4.0 yang sebelum ini beliau cemuh dan bertubi-tubi menembak Dato' Seri Najib setelah Dato' Seri Najib enggan mengikut kehendak beliau seperti wang untuk Proton, penglangjutan PPA untuk IPP kepunyaan kroni-kroni Tun Mahathir yang kaya kerana subsidi minyak, pembinaan jambatan di Johor dan banyak lagi tuntutan Tun Mahathir yang mahu menguasai Dato' Seri Najib sebagai boneka?

Akhir sekali, tidakkah Melayu sedar bahawa Melayulah yang akan kehilangan tanah mereka sekiranya kerajaan BN ini digulingkan. Melalui Bersih 4.0 inilah DAP akan mendapat sokongan yang lebih meluas sehingga suatu hari nanti mereka akan berkuasa dan mengulangi apa yang terjadi kepada Singapura dan Pulau Pinang. 


~~~~~

No comments:

Post a Comment