Wednesday 12 August 2015

Arul Menerangkan Alkisah 1MDB Melalui 10 Butir Fakta



Pukul 11 malam tadi aku tercengak di depan TV mendengarkan Arul Kanda Kandasamy (Arul) menerangkan kepada khalayak ramai di dalam sesi Soal Jawab TV3 mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Sebagai Presiden 1MDB, Arul berkali-kali menegaskan bahawa tugas beliau adalah sebagai seorang profesional perniagaan yang dilantik untuk menyelesaikan permasalahan kewangan 1MDB. Maka dengan itu, adalah tidak wajar bagi beliau untuk memberi apa-apa pendapat mengenai pergolakan politik di Malaysia dewasa ini. Apa yang ditawarkan oleh Arul ialah pemahaman mikroekonomi sebuah syarikat yang memerlukan pengstrukturan semula kedudukan kewangannya. Dengan ini, ingin saya mengulas, dengan cara yang paling mudah untuk marhain memahami penjelasan beliau melalui 10 butir fakta seperti berikut:

1. Nama asal 1MDB adalah Terengganu Investment Authority atau TIA, sebuah syarikat pelaburan kerajaan Terengganu ("Sovereign Investment"). TIA telah diambil alih oleh Kerajaan Pusat di mana ianya diubah daripada sebuah syarikat "Sovereign Investment" kepada sebuah syarikat pelaburan strategik ("Strategic Investment") dan ditukar nama kepada 1MDB.

2. Apakah bezanya Sovereign Investment dan Strategic Investment? Sovereign Investment menggunakan kekayaan negara seperti hasil petroleum untuk melabur di dalam perniagaan. Strategic Investment tidak semestinya menggunakan kekayaan negara tetapi berpaksikan objektif perniagaan strategik seperti menguasai sesuatu sumber penting negara. Di dalam hal ini, 1MDB, sebuah syarikat Strategic Investment, tidak menggunakan kekayaan negara apabila in mengambil hutang RM42 bilion dari pelabur am atau awam supaya ia berupaya untuk memperolehi aset-aset penting negara di dalam sektor tenaga dan hartanah.

3. 1MDB telah membeli aset-aset tenaga bernilai RM18 billion yang merangkumi syarikat-syarikat pengeluar tenaga ("Independent Power Producers" atau "IPP") yang memiliki stesen-stesen janakuasa elektrik di Malaysia, Mesir dan Bangadesh. Aset-aset ini dapat mengeluarkan 5,594 Megawat sehari sehingga tahun 2023 atau 2026 mengikut Perjanjian Pembekalan Tenaga ("Power Purchase Agreement" atau "PPA") dan dengan ini, ia dapat mendatangkan jualan elektrik yang lumayan sebanyak RM5 bilion setahun. 

4. 1MDB juga telah membeli aset-aset hartanah yang luas berhampiran pusat bandaraya Kuala Lumpur iaitu di tapak Lapangan Terbang lama Sungai Besi untuk dijadikan bandar Malaysia dan juga tanah di Kampung Pandan untuk dibangunkan sebagai Tun Razak Exchange. Dengan harga RM60 se kaki persegi, hartanah ini berpotensi tinggi untuk mendapat untung yang lumayan apabila harganya naik melambung setelah dibangunkan samalah seperti apa yang telah dilakukan kepada tanah lumba kuda yang sekarang ini Petronas Twin Towers dan juga tanah Brickfields yang kini Mid Valley Mega Mall dan juga KL Sentral.

5. Kedua-dua kumpulan aset-aset ini memerlukan jangkamasa panjang untuk pulangan yang lumayan sama seperti mana-mana perniagaan pun. Dengan potensi yang tinggi itu tadi, penilaian yang dijalankan ke atas aset-aset ini mencatat nilai RM52 bilion. Nilai ini dapat menampung hutang RM42 bilion secara nilai tetapi tidaklah secara tunai.

6. 1MDB sememangnya sudah merancang untuk melupuskan hutang-hutang tersebut melalui penyenaraian ("Initial Public Offering" atau "IPO") aset-aset tersebut di Bursa Malaysia. Ini membolehkan wang pelabur awam disuntik ke dalam 1MDB untuk melangsaikan hutang-hutang itu tadi dan memberi peluang kepada pelabur awam untuk memiliki saham yang bersandarkan aset-aset lumayan itu tadi. Proses IPO itu tadi sepatutnya berlaku pada penghujung 2013 tetapi ianya terbantut sehingga terus dibubarkan rancangannya kerana pergolakan politik yang melibatkan reputasi 1MDB di mata pelabur.

7. Dengan kegagalan IPO itu, maka timbullah permasalahan pembayaran hutang yang sepatutnya boleh dibayar sekiranya IPO itu dapat dijalankan. Dengan itu, pengstrukturan semula kedudukan kewangan 1MDB perlu dibuat secepat mungkin untuk memulihkan masalah kekurangan tunai untuk pembayaran hutang-hutang 1MDB. Pengstrukturan semula ini dibuat melalui perundingan diantara pihak pemilik, iaitu Kementerian Kewangan, pihak Lembaga Pengarah 1MDB dan juga pihak pengurusan 1MDB. Pengstrukturan semula ini dijangka akan dapat melangsaikan hutang RM42 bilion di dalam 3 bentuk kaedah.

8. Kaedah pertama ialah melalui penjualan aset di mana RM20 bilion akan dapat diperolehi apabila aset-aset tenaga dijual kepada sekian ramai pelabur yang berminat dari dalam dan luar negara. 

9. Kaedah kedua ialah melalui suntikan modal pemilik di mana RM16 bilion lagi dapat diperolehi dari sebuah syarikat kerajaan dari Abu Dhabi, IPIC, di mana IPIC akan memiliki saham di dalam 1MDB.  

10. Akhir sekali, melalui kaedah ketiga iaitu suntikan dari pelabur-pelabur yang akan berkongsi dengan 1MDB di dalam pembagunan Bandar Malaysia dan juga Tun Razak Exchange akan dapat menyuntik RM18 bilion sekaligus melengkapkan perangkuman yang melebihi RM42 bilion yang diperlukan untuk melangsaikan hutang itu tadi.

Itulah alkisahnya 1MDB melalui 10 butir fakta dari Arul.


~~~~~



No comments:

Post a Comment