Wednesday 1 July 2015

Transformasi Untuk 2020: Maka Subsidi Minyak Dikurangkan



Harga minyak semalam naik 10 Sen. Habis mengamuk semua satu Malaysia. Kononnya kerajaan kejam kerana menghukum rakyat. Dituduhnya kerajaan tidak mengurus negara dengan baik sehingga Ringgit Malaysia menjunam jatuh pada tahap 3.74 Ringgit untuk setiap USD. Dengan keadaan Ringgit yang lemah itulah harga minyak terpaksa dinaikkan walaupun harga minyak dunia sedang menurun. 

Hakikatnya kerajaan perlu waspada dalam menentukan tahap subsidi minyak. Jika terlampau mengikut kesan pertukaran wang sepenuhnya, terlampau banyaklah tanggungan subsidi sehingga mengurangkan tabung untuk kegunaan negara yang lain seperti pembangunan negara. Makin dilayanya subsidi, makin bankrap Malaysia ni nanti - kalau diikutkan Dato' Seri Idris Jala lah. Maka, subsidi minyak dikurangkan dan harga minyak di Malaysia naik kerana pertukaran USD-Ringgit yang lemah.

Kita perlu prihatin. Pengurangan subsidi adalah salahsatu langkah untuk menyediakan Malaysia untuk menjadi negara terbangun yang berpendapatan tinggi menjelang 2020. Pengurangan subsidi ini juga adalah salah satu faktor yang menolong Malaysia mempunyai 'rating' yang stable apabila ekonominya dibuat penilaian oleh Fitch Ratings semalam - "LTFC A- Stable" dengan pertumbuhan purata ekonomi sebanyak 5.8% setahun untuk 2010-2014, iaitu 4 kali ganda berbanding Eropah yang hanya berada pada tahap 1.5% sahaja. Selanjutnya Malaysia sudah mengurangkan defisit fiskalnya dari 4.6% pada tahun 2013 ke 3.8% pada tahun 2014.

Sebenarnya agak susah untuk rakyat marhaen memahami mengapa perlunya subsidi dikurangkan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Ini perlu diterangkan dengan terperinci. Alhamdulillah saya ada pula terbaca status Facebook seorang professional kewangan, Encik Saiful Bahari Baharom, mengenai perkara ini. Maka wajarlah jika penjelasan beliau saya kongsikan di sini untuk pemahaman marhaen sejagat. Terimalah penjelasan beliau seperti di bawah:


~~~~~


APA DIA NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI?
Oleh Saiful Bahari Baharom

Saya setuju apabila membaca beberapa komen yang mengatakan rakyat negara ini mungkin belum bersedia menerima kehidupan di dalam sebuah negara berpendapatan tinggi.

Di dalam sebuah negara berpendapatan tinggi, rakyat seharusnya lebih berpengetahuan, lebih berdikari, lebih berhemah sebagai seorang pengguna dan juga mengetahui hak-hak sivilnya.

Oleh kerana kehidupan di Malaysia dibendung dan dilindungi dengan pelbagai subsidi dan undang-undang dan dengan pemerintahan berdasarkan falsafah "Government knows best" sejak beberapa dekad yang lalu, rakyat negara ini masih "kekok" di dalam menerima-pakai cara hidup yang lebih bebas ini.

Namun, dunia telah bertukar. Ekonomi dunia tidak lagi setenteram seperti dekad-dekad 1990an. Kebangkitan negara China dan negara-negara membangun lain telah meningkatkan harga komoditi asas setelah beberapa tahun di dalam keadaan stabil. Harga minyak yang berlegar sekitar USD18.00 - USD25.00 setong naik mendadak melepasi USD100.00 setong.

2000 $27.39 
2001 $23.00
2002 $22.81
2003 $27.69 
2004 $37.66
2005 $50.04 
2006 $58.30 
2007 $64.20 
2008 $91.48 
2009 $53.48
2010 $71.21
2011 $87.04 
2012 $86.46 
2013 $91.17 
2014 $85.60

Dengan kenaikan harga minyak dan juga kenaikan jumlah pengguna minyak, bebanan subsidi juga meningkat sungguhpun pendapatan kerajaan tidak meningkat pada kadar yang sama. Ini menyebabkan defisit kerajaan meningkat.

Keadaan ini adalah punca utama mendesak kerajaan untuk mula berganjak merelakan tekanan pasaran global masuk ke dalam pasaran tempatan.

Sepatutnya, dengan masa yang sama, rakyat negara ini juga mula menyediakan diri untuk menyelami kehidupan sebuah negara berpendapatan tinggi. Sebuah negara berpendapatan tinggi bukan sahaja melibatkan perubahan di dalam ekonomi tetapi juga pelbagai aspek kehidupan di dalam negara.

Umpamanya, kerajaan sekarang lebih rela tidak masuk campur di dalam kesemua polemik peringkat nasional, berlainan dengan masa dahulu di mana Kerajaan memainkan peranan sebagai 'thought leader". Jika dahulunya Kerajaan bertindak untuk membentuk tata kehidupan rakyat dengan slogan-slogan dan lagu-lagu patriotik, sekarang tidak lagi.

Di dalam sebuah negara berpendapatan tinggi, thought leadership boleh datang dari NGO-NGO, para cendiakawan dan para profesor dan peghuni menara gading, "think tank" dan institusi-institusi ilmiah yang lain.

Antara perubahan lain adalah transformasi di dalam struktur pekerjaan dalam negara di mana industri-industri bernilai rendah tidak digalakkan dan industri-industri yang menggunakan teknologi tinggi, pengetahuan dan kemahiran tinggi menjana ekonomi negara. Industri-industri ini memerlukan bakat-bakat yang sesuai.

Dengan pendapatan wang yang lebih tinggi di kalangan peringkat menengah dan ke atas, aliran wang keseluruh ekonomi dapat dirasai. Para peruncit dan para pembekal perkhidmatan untuk penduduk berpendapatan tinggi juga akan meraih pendapatan yang lebih tinggi.

Kita semua sekarang sedang melalui era perubahan ini. Hasilnya belum dapat dirasai lagi dan ianya akan mengambil masa yang lama - tahun 2020 hanyalah titik permulaan untuk perjalanan kita ke arah pembentukan sebuah negara maju yang sebenarnya.



~~~~~

No comments:

Post a Comment